mutakhir

Rampas rokok, arak seludup

Oleh Norasikin Daineh

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas 183,780 bungkus rokok seludup membabitkan jumlah cukai RM2.7 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Soon Kiong, Jalan Kolam, Bukit Padang, Kota Kinabalu, 13 Ogos lalu.

Dalam serbuan 3.15 petang itu, turut dirampas 25 karton minuman keras membabitkan jumlah cukai RM31,247 dan wang tunai RM110,600.

Pengarah JKDM Sabah Datuk Dr Janathan Kandok berkata, seorang lelaki berusia 43 tahun ditahan.

“Rokok dan minuman keras masing-masing bernilai RM286,164 dan RM11,670 itu disyaki dijual di pasaran tempatan manakala wang tunai yang ditemui dipercayai hasil pengubahan wang haram," katanya pada sidang media di Wisma Wanita, Kota Kinabalu, hari ini.

Janathan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang belum lulus kastam yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya disabit kesalahan.

Beliau berkata, bagi kesalahan pengubahan wang haram, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 5:21pm
d