mutakhir

PATI menyamar peneroka Felda

Oleh Zaid Salim

SERAMAI 15 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen (JIM) Terengganu dalam Op Ikrar di Kemaman, hari ini.

Semua PATI berusia antara 22 hingga 47 tahun itu ditahan dalam serbuan di rumah sewa dan kongsi di sekitar ladang Kertih 1 dan Kertih 4 antara 9 pagi semalam hingga 6 pagi hari ini.

PATI lelaki membabitkan dua rakyat Vietnam dan selebihnya Indonesia ditahan kerana tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah untuk berada di negeri ini.

Serbuan diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Md Awal Ludin Mohd Ali dilakukan berdasarkan maklumat penduduk yang kurang selesa dengan kehadiran ramai pati di penempatan Felda berkenaan.

Dalam serbuan itu, ada PATI yang cuba melarikan diri dan bersembunyi dalam siling rumah namun gagal apabila tindakan itu dapat dihidu pihak berkuasa.

Pemeriksaan awal mendapati ada PATI menyamar sebagai peneroka bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

Pengarah JIM Terengganu Wan Suhaini Wan Mohamad berkata, pihaknya terus menggempur kawasan penempatan PATI di seluruh negeri.

"Semua PATI dibawa ke Depoh Tahanan Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 5:32pm
d