mutakhir

Ditahan selepas turun dari bot

Oleh Hazsyah Abdul Rahman

LAPAN warga Filipina yang cuba memasuki negara dengan bot laju ditahan di jeti Kampung Padas, Batu 16, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, tujuh lelaki dan seorang wanita berusia antara 13 tahun hingga 53 tahun ditahan oleh anggota Pasukan Polis Marin (PPM).

Difahamkan, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) berkenaan turut memiliki MyKad palsu yang ditemui dalam beg dibawanya.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohd Yazib Abd Aziz berkata, hasil risikan anggota PPM Sandakan bergegas ke lokasi itu sebelum terserempak bot laju dinaiki PATI berkenaan.

"Bot dilihat merapati jeti berkenaan lalu menurunkan penumpang. Apabila dihampiri, juragan bot memecut laju dan gagal dikesan.

“Bagaimanapun, lapan PATI terbabit berjaya ditahan di situ,” katanya.

Beliau berkata, semua PATI itu dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.” katanya.

LAPAN PATI diberkas di jeti Kampung Padas, Batu 16, Sandakan, awal pagi hari ini.

2 : MYKAD palsu dimiliki seorang suspek lelaki.

TAMAT

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 5:33pm
d