mutakhir

Operasi SAR US Navy ditamatkan

Oleh Nursyahirah Marzuki

OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) 10 anak kapal perang pemusnah Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) USS John S McCain ditamatkan sepenuhnya susulan penemuan mayat oleh pasukan penyelam US Navy dan US Marine Corp pada jam 9.30 pagi tadi.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Zulkifili Abu Bakar berkata, operasi itu ditamatkan susulan kenyataan rasmi dikeluarkan Komander Armada ketujuh US Navy yang memaklumkan semua 10 mayat anak kapal yang dilaporkan hilang sudah dijumpai di ruangan dalam kapal berkenaan.

"Malah, perkara itu turut disahkan oleh Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur sejurus kenyataan yang dikeluarkan pihak berkenaan.

"Kita juga merakam setinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua agensi terbabit dalam operasi berkenaan yang dijalankan selama empat hari bermula 21 Ogos lalu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, agensi yang turut terbabit dalam operasi SAR itu termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia (TDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Laut Malaysia.

"Operasi ini mencakupi keluasan 1,260 batu nautika persegi laut dan 1,400 batu nautika persegi udara dengan membabitkan lebih 500 individu dengan kekuatan aset sebanyak 12 kapal dan bot serta 5 pesawat udara daripada pelbagai agensi.

"Terima kasih kepada seluruh anggota APMM yang terbabit secara langsung atau tidak selain agensi media tempatan dan luar negara yang terbabit dalam operasi ini.

"Saya juga ingin menzahirkan rasa sedih dan simpati ke atas seluruh keluarga dan sahabat handai mereka yang terkorban," katanya.

Isnin lalu, sepuluh anak kapal hilang manakala lima lagi cedera selepas kapal pemusnah Amerika Syarikat (AS) bertembung dengan kapal tangki minyak di perairan Teluk Ramunia, Johor.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 7:51pm
d