mutakhir

Bantu peniaga pasar malam jimat kos

Oleh Noorazura Abdul Rahman

MESIN penjana elektrik berasaskan tenaga solar ciptaan empat penuntut kejuruteraan elektrik Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (POLIMAS) melayakkan mereka menerima anugerah Pengarah Politeknik Projek Terbaik dalam Istiadat Konvokesyen ke-31 POLIMAS, hari ini.

Menerusi Projek Solar Energy Extender, Asyraf Akmal Zamri, Ahmad Husaini Ahmad Mashry, Mohd Aqil Aizat Md Noor dan Ch'ng Zhe Shen masing-masing berusia 21 tahun menjadi permata berharga buat institusi itu apabila memenangi pingat emas dalam Pertandingan dan Pameran Projek Inovasi (iCompEx) 2017 pada Mac lalu.

Ketua projeknya, Asyraf Akmal berkata, projek itu memenangi emas berikutan kemampuan menggabungkan elemen penggunaan tenaga solar, penjimatan tenaga dan elektrik serta mesra alam.

"Kami mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan penjana elektrik itu bertujuan membantu peniaga pasar malam menjimatkan kos daripada menggunakan penjana elektrik yang menggunakan bahan api.

"Penjana elektrik ini mampu menghasilkan cahaya yang lebih terang, senyap, tidak mengeluarkan asap selain boleh bertahan selama tujuh jam berbanding penjana elektrik biasa.

"Ia juga dapat digunakan untuk mengecas peralatan elektrik seperti komputer riba, telefon bimbit dan kamera. Dengan kos RM400 kami yakin ciptaan kami mampu pergi jauh sekiranya dikomersialkan," katanya ketika ditemui selepas Istiadat Konvokesyen POLIMAS ke-31 di Dewan Sri Mas, POLIMAS, Jitra.

Bagi Ahmad Husaini, ciptaan itu mendapat perhatian yang baik daripada peniaga pasar malam di sekitar Jitra.

Katanya, peniaga yang berminat bagaimanapun meminta mereka mengecilkan saiznya bagi memudahkan ia dibawa serta menjimatkan ruang.

"Kami ada merancang untuk mengkomersialkan alat ini sekiranya lebih banyak permintaan. Sebagai permulaan, ia mungkin akan dijual dengan harga RM800.

"Cuma kami perlukan lebih banyak masa kerana akan melanjutkan pelajaran selepas ini," katanya yang diterima menyambung pengajian bersama tiga lagi rakan projek di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Melaka dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik pada 4 September ini.

Mereka antara 227 graduan yang menerima diploma masing-masing pada hari pertama konvokesyen POLIMAS yang disampaikan oleh Tunku Temenggong, Tan Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Seramai 1,277 graduan daripada 16 program bakal menerima diploma pada konvokesyen terbabit yang berakhir Rabu ini.

Disiarkan pada: August 28, 2017 @ 8:01pm
d