mutakhir

Projek menang emas

Oleh Noorazura Abdul Rahman

Jitra: Mesin penjana elektrik berasaskan tenaga solar ciptaan empat penuntut kejuruteraan elektrik Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) melayakkan mereka menerima anugerah Pengarah Politeknik Projek Terbaik dalam Istiadat Konvokesyen-31 POLIMAS, semalam.

Menerusi Projek Solar Energy Extender, Ashraf Akmal Zamri, Ahmad Husaini Ahmad Mashry, Mohd Aqil Aizat Md Noor dan Ch’ng Zhe Shen masing-masing berusia 21 tahun, menjadi permata berharga buat institusi itu apabila memenangi pingat emas pada Pertandingan dan Pameran Projek Inovasi (iCompEx) 2017 pada Mac lalu.

Ketua projek Asyraf Akmal berkata, projek itu memenangi emas berikutan kemampuan menggabungkan elemen penggunaan tenaga solar, penjimatan tenaga dan elektrik serta mesra alam dalam ciptaan mereka.

“Kami mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan penjana elektrik yang berasaskan tenaga solar ini untuk membantu peniaga pasar malam menjimatkan kos penggunaan penjana elektrik yang menggunakan bahan api.

“Penjana elektrik itu mampu menghasilkan cahaya lebih terang, senyap, tidak mengeluarkan asap selain boleh bertahan tujuh jam berbanding penjana elektrik biasa.

“Ia juga dapat digunakan untuk mengecas peralatan elektrik seperti komputer riba, telefon bimbit dan kamera. Dengan kos RM400, kami yakin ciptaan kami mampu pergi jauh sekiranya dikomersialkan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Husaini berkata, ciptaan berkenaan mendapat perhatian peniaga pasar malam sekitar Jitra selepas mereka melakukan demonstrasi sebelum ini.

Katanya, peniaga yang berminat meminta mereka mengecilkan saiznya bagi memudahkan ia dibawa serta menjimatkan ruang.

“Kami merancang mengkomersialkan alat ini sekiranya lebih banyak permintaan. Sebagai permulaan, ia mungkin dijual pada harga RM800.

“Kami perlukan lebih banyak masa kerana akan melanjutkan pengajian selepas ini,” katanya yang diterima menyambung pengajian bersama tiga lagi rakan projek di Universiti Teknikal Malaysia (UTEM), Melaka dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik, 4 September ini.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 4:32am
d