mutakhir

Mengaku salah

Oleh Sarah Zulkifli

Petaling Jaya: “Bagi memudahkan semua pihak, saya mengaku salah,” kata pengasas Vida Beauty Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida ketika pengakuannya diambil dalam prosiding di Mahkamah Majistret, di sini, semalam.

Jutawan kosmetik itu kemudian didenda RM4,800 selepas mengaku bersalah menyiarkan iklan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Majistret Mohd Azali Ibrahim turut memerintahkan Hasmiza, 46, menjalani tambahan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda.

Dia selaku orang kena saman (OKS) yang terkenal dengan lagu ‘I Am Me’ membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, Hasmiza didakwa menyiarkan iklan dalam rancangan Jom Singgah di syarikat penyiaran televisyen berhubung produk Pamoga untuk mempengaruhi pengguna sebagai ubat atau penyembuh bagi merawat kulit melecur, meredakan sakit sendi dan melegakan sakit lutut seperti yang dinyatakan dalam jadual Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Sri Pentas, Persiaran Bandar Utama, di sini, antara jam 1 hingga 1.30 tengah hari pada 18 Julai 2016.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4B Akta Ubat (Iklan dan Penjualan 1956) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 5(1)(b) akta yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Hasmiza yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon dikenakan hukuman ringan dengan alasan hanya mengulangi testimoni daripada pelanggan mengenai keberkesanan produk berkenaan.

“Saya tidak dapat mengawal percakapan kerana program itu disiarkan secara langsung dan sekarang saya memilih untuk berdiam diri dan tidak membuat siaran langsung lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Bahagian Penguatkuasaan Bahagian Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membantah rayuan itu dan memohon dikenakan hukuman berat kerana mempunyai kesalahan lampau serta OKS dikenali ramai.

Mengikut fakta kes, pada 2 Ogos tahun lalu, penguat kuasa Farmasi Perak menjalankan siasatan berhubung penyiaran iklan itu.

Setiausaha Lembaga Iklan Ubat kemudian mengesahkan bahawa iklan berkenaan tiada kelulusan daripada Lembaga Ubat.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 5:09am
d