mutakhir

Pesara tentera, isteri dapat kuota khas haji untuk warga ATM

Oleh HM Digital

Kelana Jaya: “Impian menunaikan haji sejak sembilan tahun lalu bersama isteri akhirnya dimakbulkan Allah apabila mendapat tawaran menerusi kuota khas haji Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tahun ini,” kata warga emas, Abdullah Mohamed, 73.

Menurutnya, dia dan isteri, Tatimah Husin, 68, bersyukur mendapat tawaran melalui kuota khas anggota dan veteran ATM.

“Kami mendaftar haji bersama-sama pada2008 dan sepatutnya giliran kami dua tahun lagi iaitu pada 2019 namun kami dapat menunaikan haji secepat ini menerusi kuota diberi.

“Alhamdulillah syukur penantian yang ditunggu selama sembilan tahun akhirnya dimakbulkan Allah SWT walaupun saya terpaksa menunaikan haji menggunakan kerusi roda,” katanya ketika ditemui di sini.

Tatimah berkata, rezeki menunaikan haji menerusi kuota yang diberi kepada anggota dan veteran ATM tidak disangka-sangka apabila mereka antara yang terpilih menerusi kuota itu.

Alhamdulillah berkat doa dan solat hajat, kami terpilih menunaikan haji lebih awal daripada tahun dijangkakan,” katanya yang mempunyai 11 cucu.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 5:26am
d