mutakhir

Kariah masjid, surau turut sama

Oleh HM Digital

Putrajaya: Ahli kariah masjid dan surau di seluruh negara diminta untuk turut sama menyertai dua program interaksi al-Quran iaitu World #QuranHour (WQH) dan Merdeka #QuranHour (MQH) pada 31 Ogos ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Tan Sri Othman Mustapha berkata, usaha itu dapat mengimarahkan lagi program terbabit yang dilaksanakan sempena wukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah serentak dengan sambutan Hari Kebangsaan.

“Program MQH adalah kali pertama diadakan sempena Hari Kebangsaan ke-60 dan saya berharap lebih ramai jemaah terutama di sekitar Lembah Klang untuk sama-sama menyertai program ini.

“Malah, kita juga akan meminta kerjasama daripada Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk memaklumkan kepada ahli kariah masjid berdekatan,” katanya pada sidang media di Kompleks Islam, semalam.

Hadir sama, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan WUI Marhaini Yusoff.

Othman berkata, MQH dijangka menerima 5,000 penyertaan. Ia satu usaha untuk mendidik umat Islam membaca dan memahami secara mendalam kitab suci al-Quran.

“Kali ini kita memilih untuk membaca surah Yasin kerana ia jatuh pada malam Jumaat dan amalan itu sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam untuk membacanya.

“Kita mahu amalan membaca, memahami dan menghayati al-Quran menjadi satu usaha dalam membina kekuatan dengan menyatupadukan umat Islam di negara ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 5:36am
d