mutakhir

Isu Rohingya harus diselesaikan

Oleh Muhammad Apendy Issahak

MALAYSIA tidak mahu terus terbeban dengan kebanjiran pelarian etnik Rohingya susulan pergolakan di Myanmar yang berterusan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya meminta agar pemimpin Myanmar Aun San Su Kyi mengambil langkah segera untuk membersihkan nama dan imej negaranya susulan pergolakan itu yang mendapat kecaman masyarakat antarabangsa.

"Kita tidak mahu negara Malaysia menanggung permasalahan sosial dan politik mereka (Myanmar) dan kita tidak mahu rakyat kita dibebani dengan kebanjiran (pelarian) ini.

"Keutamaan kita adalah kebajikan dan kebajikan rakyat kita. Bukan kita tidak ada perasaan kemanusiaan kepada pelarian-pelarian ini hadapi maut di negara mereka tetapi saya fikir masyarakat antarabangsa harus terus mengambil kepedulian terhadap nasib mereka," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Hari Raya Aidiladha Kawasan Parlimen Bagan Datuk, di Dewan Datuk Mohamed Jamrah, Parit 7, Sungai Sumun, Bagan Datuk, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai serangan terbaru terhadap etnik Rohingya di beberapa kampung di Rakhine mengakibatkan ramai penduduk terkorban.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) supaya kad UNHCR tidak sewenang-wenangnya diberikan kepada pelarian.

"Masyarakat antarabangsa sudah berkali-kali memberikan amaran kepada kerajaan berkenaan (Myanmar) malah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) sudah memberikan bantuan.

"Tetapi keadaan ini berulang lagi. Saya harap perkara ini ditangani dengan serius. Jangan ada 'double standard' kerana perbezaan agama dan jangan menjadikan isu kemanusiaan ini menjadi isu agama dan politik.

"Ia harus diselesaikan dan dimuktamadkan sebab Malaysia tidak mahu menjadi negara penerima kerana apabila berlaku permasalah di sana, ianya akan mengundang kebanjiran orang Rohingya ke negara jiran," katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 1:54pm
d