mutakhir

Akan audit golongan profesional

Oleh Hayati Ibrahim

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan melancarkan operasi audit terhadap golongan profesional termasuk peguam, arkitek dan jurutera dalam masa terdekat.

Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Sabin Samitah berkata, operasi ini dilakukan berdasarkan analisis risiko dan maklumat risikan yang diperolehi dari pihak ketiga termasuk Bank Negara Malaysia (BNM).

"Operasi dijangka dilaksanakan bulan depan atau Oktober. Ini dilakukan kerana berdasarkan pengalaman pengauditan terhadap golongan profesional sebelum ini mendapati mereka tak mengisytiharkan pendapatan mengikut Akta Cukai.

"Ada juga dalam kalangan mereka yang tidak mengisytihar pendapatan mereka sebab itu kita melaksanakan operasi," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Merdeka 2017 di Cyberjaya, hari ini.

Sehubungan itu, Sabin menasihatkan mana-mana golongan profesional yang merasakan mempunyai isu mengenai percukaian diminta hadir ke LHDN untuk menyelesaikannya.

"Mereka boleh membuat pendedahan secara sukarela,"katanya.

Ditanya mengenai sama ada LHDN sengaja mensasarkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dan anaknya untuk disiasat berkaitan cukai, beliau berkata, LHDN tidak mengamalkan tindakan siasatan selektif atau bermotifkan politik.

Selain itu, beliau berkata, prestasi kutipan LHDN sehingga kini adalah 2.72 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sasaran untuk memperoleh kutipan cukai tahun ini sebanyak RM127.7 bilion mampu dicapai, bagaimanapun LHDN perlu berusaha lebih keras untuk mencapainya.

Katanya, sehingga kini LHDN sudah mengutip cukai sebanyak RM75.7 bilion.

"Terdapat dua kekangan yang kami hadapi untuk mencapai sasaran itu termasuk pengumuman kerajaan yang mengurangkan kadar cukai sebanyak satu peratus mungkin akan mengurangkan hasil.

"Satu lagi adalah kutipan cukai dari hasil petroleum, mengikut anggaran LHDN sepatutnya memperoleh RM8 bilion, tetapi sehingga kini kita baru mendapat RM3 bilion, ini antara cabaran kita,"katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 2:34pm
d