mutakhir

4 didakwa dera remaja

Oleh Mary Victoria Dass

LELAKI didakwa bersama kekasihnya dan dua anak wanita itu atas tuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak lelaki itu di Mahkamah Majistret dan Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Tertuduh, G Viswanathan, 36; K Lechumy, 40, dan dua anak lelaki wanita itu, R Aravindaar, 19 serta seorang lagi berusia 14 tahun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Viswanathan yang juga pekerja swasta di Singapura didakwa melakukan kesalahan pada Februari 2017 hingga 14 Ogos 2017 di No 31, Jalan Camar 5, Taman Perling.

Dia didakwa sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan atas remaja berusia 14 tahun menganiayai remaja berkenaan hingga mengalami kecederaan fizikal.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (a) akta sama.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dijatuhi hukuman denda RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Kamarudin Kamsun menetapkan 13 September sebagai sebutan semula kes.

Manakala Lechumy yang hamil enam bulan dan tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan pada Julai 2017 hingga 14 Ogos 2017 di alamat sama.

Dia didakwa mendatangkan kecederaan atas remaja berkenaan dengan menggunakan wayar sebagai senjata untuk melakukan kesalahan yang mungkin menyebabkan kecederaan.

Lechumy didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara selama tiga tahun atau didenda atau sebatan.

Majistret Siti Hajar Ali menetapkan 3 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Manakala dua anak wanita berkenaan didakwa mulai Julai hingga 14 Ogos di alamat sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan atas kanak-kanak berkenaan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Majistret Salina Omar menetapkan 8 Oktober sebagai tarikh sebutan.

Viswanathan tidak ditawarkan jaminan manakala tertuduh lain masing-masing dibenarkan diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Natalie Chew, Muhammad Mohd Nasir dan Suhaila Shafi'uddin.

Kesemua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 5:53pm
d