mutakhir

16.73 kg syabu dilupuskan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melupuskan syabu seberat 16.73 kilogram bernilai RM3.5 juta yang dirampas di kedudukan empat batu nautika barat daya Tanjung Tokong, Pulau Pinang pada 2014, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Maritim Malaysia Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pelupusan dadah itu adalah kali pertama dilakukan pihaknya menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator oleh sebuah syarikat pelupusan sisa pepejal di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Pelupusan syabu perlu dilaksanakan secara terkawal kerana ia boleh menjejaskan kesihatan manusia dan haiwan selain merbahaya kepada alam sekitar.

"Sebelum ini, dadah yang dirampas Maritim Malaysia diserahkan kepada polis untuk pelupusan. Namun, ini kali pertama kami mengambil inisiatif menjalankan prosedur berkenaan seperti termaktub dalam Seksyen 37A (1) (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Abdul Rahman berkata, pelaksanaan prosedur itu adalah pencapaian terbaru yang membuktikan Maritim Malaysia serius dalam menangani kes berprofil tinggi bermula dari tangkapan, siasatan, perbicaraan hingga ke pelupusan rampasan.

"Kami akan terus memastikan tahap pengurusan kes berprofil tinggi dikendalikan mengikut prosedur dan piawaian standard ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 7:21pm
d