mutakhir

Pak Nasir, Uncle Krishnan dah nak sampai

Oleh Zuliaty Zulkiffli

PELARI, Nasir Abas, 62, dan rakannya, Krishnan Andy, 60, dijangka tiba di perkarangan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur malam esok untuk sama-sama menyambut Hari Kebangsaan 2017.

Mereka yang mula melakukan Larian Muhibbah Merdeka 2017 dari Stadium Darulaman, Alor Setar, pada 19 Ogos lalu selamat tiba di Balai Polis Rawang, Selangor, 6 petang hari ini selepas memulakan larian dari Batang Kali, Selangor pada 2 petang.

Anak Nasir, Sazali Nasir, 33, berkata, larian agak lewat bermula hari ini disebabkan faktor jarak yang terlalu dekat dari Batang Kali ke Rawang berbanding larian sebelum ini yang bermula 8.30 pagi.

"Abah dan pakcik Krishnan seakan tidak sabar untuk menunggu hari esok kerana itu hari terakhir mereka sampai di destinasi yang dituju bagi menamatkan larian sejauh 480 kilometer (km) dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

"Hanya tinggal 40 km lagi mereka akan sampai ke sana (Dataran Merdeka). Abah serta pakcik Krishnan bersemangat walaupun menempuh pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang 11 hari termasuk hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sazali berkata, mereka berdua akan memulakan larian esok pada 8.30 pagi dan dijangka berhenti di Templer Park sebelum meneruskan larian sehingga ke stesen minyak BHP Jalan Kuching.

Katanya, bapanya serta pengiring singgah menunaikan solat Maghrib dan Isyak sebelum meneruskan larian 10 malam menuju ke Dataran Merdeka.

"Di Jalan Kuching, mereka dijangka disambut Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dan Persatuan Veteran India Malaysia (PERIM) termasuk adik saya, Norfadzeli Nasir, 30, yang akan mengiringi mereka berdua menuju ke Dataran Merdeka," katanya.

Sazali berkata, sepanjang larian, mereka turut mengibar Jalur Gemilang bagi membuktikan semangat cintakan negara kerana kedua-dua mereka adalah pesara tentera.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 8:27pm
d