mutakhir

1,000 pokok bakau ditanam di Sungai Paka

Oleh Rosli Ilham

SEBANYAK 1,000 pokok bakau akan ditanam PETRONAS Gas Berhad (PGB) di sepanjang Sungai Paka, Dungun tahun ini sebagai benteng hakisan sekali gus melindungi kawasan pesisiran daripada ribut dan angin kencang.

Ketua Pegawai Eksekutif PGB Kamal Baharin Ahmad berkata, ketika ini, sebanyak 300 pokok sudah ditanam bagi fasa pertama manakala selebihnya akan ditanam menjelang akhir tahun ini.

"Pokok ini akan menjaga daratan atau tanah daripada dihakis disebabkan fenomena pasang surut serta gelombang air sungai.

"Program ini dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi dan masyarakat setempat sebagai satu aktiviti dalam menzahirkan komitmen terhadap pemulihan alam sekitar," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Sayangi Sungai Paka di Kampung Pinang Merah, Paka, Dungun, hari ini.

Turut hadir, Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Wan Mohd Hasnan Abdullah, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Shahidan Embok dan Pengerusi Penasihat Alam Sekitar, Prof Dr Ahmad Ismail.

Kamal Baharin berkata, selain menanam pokok, pihaknya turut membuang 1,000 biji mudball (bebola lumpur) ke dalam sungai berkenaan.

"Mudball ini adalah campuran tanah liat dengan bahan organik, molasses, mineral dan bakteria berfaedah bertujuan memecah molekul sisa sampah, lumpur dan logam berat,” katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 9:39pm
d