mutakhir

Kejutan terindah

Oleh Garret Dawum

“KEJUTAN terbesar dan terindah ini buat saya menangis,” kata ibu tunggal, Siti Nor Hawa Ramli, 38, yang menerima tajaan mengerjakan umrah daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Dia yang bakal ke Makkah bersama dua anaknya iaitu Mohd Jeffrey, 15, dan Mohd Yassin, 14, masih terkejut kerana tidak diberitahu berkenaan tajaan itu.

"Saya hanya diberitahu oleh Institut Onn Jaafar (IOJ) untuk menghadiri sebuah majlis di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tetapi tidak sangka nama dipilih menerima tajaan umrah itu.

"Ini adalah peluang keemasan buat saya kerana pendapatan kira-kira RM1,000 dengan menjual nasi lemak tidak mungkin akan membawa saya ke Makkah dengan cepat memandangkan anak masih bersekolah," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Malaysians United Run (MUR) 2017 anjuran IOJ di UKM Bangi, hari ini.

Siti Nor Hawa berkata, sumbangan yang diberikan IOJ kepada orang kurang mampu sepertinya adalah sangat berharga.

"Perniagaan ini banyak dibantu oleh anak yang berkorban dengan bangun seawal 3 pagi menolong saya menyiapkan barang jualan sebelum mereka ke sekolah.

"Tanpa mereka, saya memang tidak mampu melakukannya sendiri. Saya orang susah dan berterima kasih kepada IOJ kerana memilih saya untuk mengerjakan umrah," katanya.

Sementara itu, Penaung IOJ, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, MUR 2017 adalah satu inisiatif amal dan kesinambungan daripada larian amal pertama IOJ pada 2015.

"Tahun ini, kami bekerjasama dengan 62 institut pengajian tinggi awam dan swasta dengan sasaran 40,000 pelari. Larian ini akan diadakan pada 18 November di Dataran Merdeka.

"Sebagai kerja amal, larian ini turut mengumpul dana dalam membantu mereka yang dalam kesusahan, selain mempromosikan idea kesukarelawanan," katanya.

Beliau berkata, larian turut diadakan bagi menyedarkan masyarakat mengenai pentingnya perpaduan khususnya kepada golongan muda, selain memikirkan keharmonian masyarakat dunia.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 10:26pm
d