mutakhir

Adik, kakak sama universiti

Oleh Garret Dawum

Bangi: “Saya tidak sangka akan mendapat tawaran daripada universiti sama dengan kakak kerana kami tidak mengisi permohonan bersama,” kata pelajar baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Dhamira Rozaini Ahmad Zaini, 19.

Dia yang mendapat peluang melanjutkan pengajian dalam Kejuruteraan Perisian berkata, belajar di universiti sama dengan kakak, Nur Diyana Rozaini Ahmad Zaini, 21, akan memudahkan kerja mereka seharian sepanjang berada di UKM.

“Kami boleh balik rumah bersama dan dapat berkongsi serta meluahkan masalah masing-masing.

“Walaupun baru mendaftarkan diri, kami sudah bersedia untuk belajar menyesuaikan diri dengan sesi pengajian dan kehidupan sebagai pelajar universiti.

“Memang saya tak menyangka akan menerima tawaran daripada UKM dan amat gembira kerana dapat bersama kakak memulakan langkah baru demi cita-cita,” katanya ketika ditemui di UKM, semalam.

Nur Dhamira Rozaini dan kakaknya yang mendapat tawaran dalam bidang Pengurusan Perniagaan antara 4,042 pelajar baru UKM yang mula mendaftar untuk sesi pengajian baru sejak Sabtu lalu.

Menurut Nur Dhamira Rozaini, UKM adalah pilihan pertamanya meneruskan minat terhadap bidang teknologi maklumat.

“Untuk masuk ke UKM kami perlu menjalani temu duga dan memuat naik video di dalam YouTube untuk dinilai.

“Memang tidak sangka, kemahiran komunikasi dan personaliti menerusi video itu mendapat perhatian daripada pensyarah untuk saya diterima masuk ke UKM,” katanya yang juga bekas pelajar matrikulasi dalam bidang Sains Fizikal.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 6:45am
d