mutakhir

Gerak kempen dari Kerala

Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Biarpun terletak lebih 6,000 kilometer (km) dari Malaysia, ia bukan penghalang bagi sekumpulan pelajar dan pensyarah di Kerala, India untuk turut berkempen sempena penganjuran World #QuranHour (WQH) yang akan berlangsung esok.

Pengarah Akademik Pengajian Antarabangsa dan Penyelidikan Institut Ma’din Kerala, Dr Abbas Panakkal yang mengetuai inisiatif itu berkata, pihaknya terpanggil turut serta menggerakkan kempen kembali berinteraksi dengan al-Quran.

“Ia kempen yang sangat baik kerana sebagai umat Islam, kita semua perlu kembali kepada rujukan utama ditinggalkan Nabi Muhammad SAW iaitu al-Quran.

“Kitab suci ini seharusnya menjadi rujukan utama kita dan manual kehidupan seharian. Dalam arus kehidupan yang semakin mencabar, interaksi umat Islam dengan al-Quran agak menurun.

“Penganjuran WQH ini sebagai titik tolak atau penggerak kita kembali menghayati al-Quran, mengetahui maksud serta mesej ingin disampaikan Allah menerusi kitab suci itu,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp, semalam.

Sebanyak 45 lokasi di seluruh dunia termasuk di Kerala, India mengesahkan penyertaan menganjurkan program WQH dan jumlah lokasi itu dijangka meningkat esok.

Dr Abbas berkata, sekumpulan pelajar di institut ini akan berkumpul dan mula membaca al-Quran dimulakan dengan surah Yasin iaitu surah tema untuk program kali ini.

“Saya menjangkakan kehadiran pelajar, pensyarah dan masyarakat Islam di Kerala sekitar 5,000 orang. Ia mungkin usaha yang kecil namun sangat bermakna.

“Program WQH di Kerala akan bertempat di Masjid Besar Ma’din iaitu dalam kawasan institut kami sekitar jam 1 hingga 6 petang waktu tempatan,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan pihaknya dalam WQH bermula menerusi jalinan kerjasama dengan Majlis Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan terpanggil turut serta menggerakkan usaha dakwah itu.

Menurutnya, pihaknya menyediakan juadah berbuka puasa untuk 5,000 jemaah yang bakal hadir namun menganggarkan jumlah itu lebih tinggi.

“Kami juga giat mengadakan kempen menerusi poster dan hebahan pelajar di institut ini kepada masyarakat Islam di Kerala. Insya-Allah saya yakin usaha dakwah ini berhasil.

“Saya difahamkan tarikh penganjuran WQH di Malaysia sama dengan sambutan Hari Kebangsaan, ia pasti sesuatu yang bermakna buat sahabat Islam kami di sana,” katanya.

WQH berlangsung pada 31 Ogos di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai lokasi perdana jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari.

Kempen berinteraksi dengan al-Quran bertemakan Dunia Berbudi dan Penyayang diadakan serentak di seluruh dunia.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 9:58am
d