mutakhir

Solar beri duit [METROTV]

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Masjid Al Abrar di Kampung Bukit Tok Beng, di sini, mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi masjid pertama di Terengganu memasang panel solar PV (fotovolta) sekali gus mampu menjana pendapatan bulanan.

Menggunakan peruntukan sebanyak RM89,000 hasil sumbangan orang ramai, panel solar PV itu dipasang pada bumbung masjid pada 10 Ogos lalu.

Pengerusi masjid Ahmad Othman berkata, pihak pengurusan masjid mengambil keputusan menggunakan wang sumbangan orang ramai itu untuk menjana pendapatan masjid melalui penjualan bekalan unit kilowatt (kW) tenaga elektrik yang dihasilkan menerusi panel solar terbabit.

“Pada 2014, tiga masjid di negeri ini termasuk masjid kami diberi penerangan mengenai panel solar yang mampu membantu menjanakan pendapatan.

“Selepas membuat rujukan dan berbincang dengan semua ahli jawatankuasa masjid, kami bersetuju untuk membuat pelaburan menerusinya.

“Kemudian kami disarankan supaya memasang sistem solar berkapasiti 24 kW yang membabitkan kos sehingga RM216,000,” katanya.

Menurutnya, pihak masjid tidak mampu untuk menampung kos itu menyebabkan mereka meminta pengurangan kos berdasarkan bajet yang ada.

“Kami mengambil solar berkapasiti 12 kW yang mampu menjana sebanyak 50 unit perkilowatt jam (kWj) sehari seterusnya mampu menjana pendapatan kepada masjid sebanyak RM1,500 hingga RM1,800 sebulan.

“Dalam tempoh enam tahun, pihak masjid dijangka mendapat pulangan modal dan selebihnya ialah keuntungan yang diperoleh masjid.

“Kontrak juga sudah dibuat dengan pihak TNB selama 21 tahun dan syarikat itu akan membayar kepada masjid dengan harga RM1.20 untuk seunit kWj,” katanya.

Setiausaha masjid, Ramli Seman pula berkata, panel solar PV yang dipasang di masjid itu sebagai langkah terbaik untuk menjana pendapatan selain pemberian ikhlas ahli kariah dan penduduk setempat.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 11:33am
d