mutakhir

Mangsa bot terbalik dapat pelepasan hutang PTPTN

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

KELUARGA Nurnasibah Husna Ibrahim yang maut dalam tragedi bot terbalik, 8 Ogos lalu bersyukur apabila Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberi pelepasan hutang pinjaman arwah bernilai RM2,398.32.

Pelepasan hutang itu dimaklumkan Pengurus Besar Kanan Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop yang ke rumah keluarga arwah di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, hari ini.

Malah, beliau turut menyampaikan cek Manfaat Takaful berjumlah RM1,500 kepada waris Nurnasibah Husna iaitu ibunya, Rosnani Abdullah, 46.

Menurut bapa arwah, Ibrahim Abdul Kadir, 51, anak sulungnya itu masih mempunyai dua tahun baki pengajian peringkat ijazah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang Sains Sosial (Sosiologi dan Antropologi).

"Dia anak sulung yang menjadi tauladan serta contoh untuk tiga adiknya yang masih bersekolah. Namun apakan daya, takdir Ilahi menentukan dia pergi dulu.

"Memang sukar buat kami sekeluarga menerima kejadian ini, namun dalam masa sama, kita tidak boleh menidakkan takdir Allah.

"Saya ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada PTPTN kerana memberi pelepasan buat pinjaman arwah," katanya ditemui hari ini.

Dalam kejadian 8 Ogos lalu, Nurnasibah Husna, 21, ditemui lemas selepas bot dinaiki bersama 14 penuntut institut pengajian tinggi dari Pulau Perhentian terbalik akibat kerosakan enjin di Pulau Rhu dekat Kuala Besut.

Mayatnya ditemui terperangkap di bawah bot manakala 14 yang lain sempat diselamatkan. Mereka sebelum itu menyertai perhimpunan penuntut universiti Kelantan.

Sementara itu, Abdul Ghaffar berkata, arwah dilindungi di bawah Skim Perlindungan Takaful Berkelompok Pinjaman Pendidikan PTPTN.

"Melalui manfaat skim perlindungan ini, semua pinjaman arwah selesai sepenuhnya apabila meninggal dunia dan dalam masa sama, waris yang juga ibu arwah turut menerima khairat kematian berjumlah RM1,500.

"Kami di PTPTN sentiasa memikirkan kebajikan peminjamnya dan berusaha membantu meringankan beban yang ditanggung oleh peminjam dan waris mereka," katanya.

Terdahulu, rombongannya bersama keluarga arwah mengadakan majlis tahlil untuk arwah sebelum penyerahan Sijil Pelepasan Hutang PTPTN dan Cek Manfaat Takaful kepada waris dilakukan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 7,127 peminjam dengan jumlah RM115.98 juta sudah memperoleh manfaat perlindungan takaful sehingga 31 Julai lalu.

Katanya, dalam tempoh sama, PTPTN juga sudah menyerahkan tuntutan khairat kematian kepada 6,463 penuntut atau waris yang berjumlah RM8.08 juta.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 7:10pm
d