mutakhir

Maut dirempuh van terbabas

Oleh Mohammad Ishak

SURI rumah maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Gong Nering, Besut, petang hari ini.

Dalam kejadian 5.45 petang, Rohani Abdullah, 42, dari Kampung Tempinis meninggal di tempat kejadian akibat parah di badan.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dari Jertih menghala ke Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah van dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah bertentangan dikatakan terbabas lalu melanggar mangsa.

Kejadian itu menyebabkan mangsa tercampak manakala motosikalnya dilanggar Perodua Kancil dipandu lelaki berusia 30-an yang menghala ke Kuala Terengganu.

Pelanggaran itu menyebabkan motosikal mangsa terbakar manakala van dan kereta kancil terbabas di bahu jalan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, mayat dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan," katanya.

Disiarkan pada: August 30, 2017 @ 11:25pm
d