mutakhir

Irama orkestra

Oleh Siti Fatimah Nasir

Kuala Lumpur: Orang ramai yang meminati muzik orkestra kini berpeluang menyertai Orkestra Konsert Diraja United Kingdom yang menampilkan persembahan konsert tahunan daripada Toyota Klasik di Dewan Filharmonik Petronas di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 31 Oktober ini.

Siri konsert klasikal yang dibawa kumpulan orkestra UMW Toyota Motor dan Toyota Motor Asia Pasifik itu terkenal di serata dunia sejak 1990 dengan kepelbagaian komposisi klasikal, klasikal ringan dan muzik popular.

Kumpulan orkestra itu memiliki reputasi bertaraf dunia kerana pengalamannya bekerjasama dengan artis ternama antarabangsa seperti Andrea Bocelli, Jose Carreras dan mendiang Luciano Pavarotti.

Kumpulan itu kerap membuat persembahan di festival muzik musim panas London dan pentas utama seluruh dunia bermula dari Asia ke Amerika Utara hingga Amerika Selatan.

Selain menyokong kalendar kebudayaan negara pada Oktober ini, acara orkestra itu juga bertujuan mengumpul dana menerusi jualan tiket dan derma korporat yang akan disalurkan untuk kegunaan program pembangunan belia.

Kutipan dana hasil acara berkenaan akan diserahkan kepada dua penerima utama iaitu Jabatan Muzik, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA).

Presiden UMW Toyota Motor K Ravindran berkata, UMW Toyota Motor memberi sokongan kepada 65 organisasi kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan jumlah keseluruhan lebih RM8 juta daripada sumbangan itu.

“Sumbangan ini bukti kesungguhan kami mewujudkan usaha dan tanggungjawab terhadap masyarakat yang menjadi nilai utama organisasi kami,” katanya pada sidang media Toyota Klasik 2017, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Akio Takeyama, Presiden PEKA Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil serta pensyarah kanan Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Indra V Selvarajah.

Tiket persembahan orkestra boleh didapati pada harga antara RM106, RM159, RM212 dan RM265 yang boleh dibeli bermula hari ini di Box Office Dewan Filharmonik PETRONAS atau tempahan menerusi toyota.com.my.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 4:09am
d