mutakhir

Kekangan sudut perundangan

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Pasir Puteh: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengakui berdepan kesukaran mengambil tindakan terhadap nelayan asing yang memindahkan hasil laut dari bot milik pengusaha tempatan kerana ia dilakukan di luar perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia Laksamana Madya Datuk Mohd Taha Ibrahim berkata, biarpun beberapa kali membuat tangkapan nelayan yang menjalankan aktiviti haram itu, pendakwaan tidak dapat dilakukan kerana kegiatan dilakukan di luar perairan.

“Kita tak nafikan perkara itu berlaku (kegiatan pindah hasil laut) cuma kekangan daripada sudut perundangan. Apabila aktiviti berkenaan dilakukan di luar perairan negara, secara teknikalnya kita tak dapat dakwa mereka.

“Di Kelantan saja, kita sudah tahan enam bot melakukan kesalahan sama.

“Isu ini akan cuba ditangani (secepat mungkin) dan kita perkukuhkan daripada sudut perundangan untuk menuduh mereka yang terbabit,” katanya selepas Program Pelupusan Vesel Lucut Hak Secara Bakar di Pejabat APMM Daerah Maritim 10 Tok Bali, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan Harian Metro semalam yang mendedahkan kegiatan nelayan asing bekerja dengan pemilik bot laut dalam tempatan, namun mengutip hasil laut untuk diserahkan kepada rakan senegara secara haram.

Mereka dikatakan mengambil separuh daripada kapasiti hasil laut berkualiti yang dibenarkan ditangkap bot kelas C2 iaitu berjumlah 5,000 kilogram. Hasil berkualiti itu dipindahkan kepada bot nelayan asing haram dan menurunkan hasil gred kedua kepada peraih ikan tempatan.

Katanya, APMM kini meningkatkan penguatkuasaannya di sekitar perairan negara untuk mengelak nelayan asing bermaharajalela.

“Kita minta kerjasama nelayan tempatan menyalurkan maklumat,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 4:52am
d