mutakhir

Hanya 41 lembu bolos

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Rantau Panjang: Hanya 41 lembu dan kerbau diterima Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) hasil rampasan agensi keselamatan di pintu sempadan negara sejak Januari lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mokhtarud-din Husin berkata, jumlah rampasan itu menurun berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 225 ekor.

Beliau sekali gus menafikan terdapat penyeludupan lembu dan kerbau hingga 20,000 ekor yang berisiko kepada bekalan tempatan.

“Pasukan keselamatan di sempadan mengawal ketat semua laluan dan mengesan 41 lembu dan kerbau yang diseludup secara haram sejak awal tahun hingga setakat ini.

“Jumlahnya juga rendah berbanding tempoh sama tahun lalu. Malah, kami di MAQIS juga melarang kemasukan ternakan tanpa permit import kerana memberi mudarat kepada negara.

“Mereka yang ditangkap boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya pada sidang media di Pejabat MAQIS, di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima 8 Briged Brig Jen Nazari Abd Hadi dan Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Pengkalan Kubor Asisten Superintendan Ahmad Amri Abdul Rahman.

Beliau berkata, sejak 2012 hingga kini, pihaknya merekodkan 58,790 lembu dan kerbau diimport secara sah melalui pintu masuk Rantau Panjang.

Katanya, setiap ternakan yang diimport melalui prosedur yang ditetapkan termasuk mempunyai permit import MAQIS dan sijil kesihatan veterinar daripada pihak berkuasa negara pengeksport.

“Ternakan ini juga melalui prosedur kuarantin selama 15 hari di Stesen Kuarantin Haiwan Rantau Panjang milik MAQIS,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 4:57am
d