mutakhir

Hadiah terbaik

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat rakyat Malaysia selain sebuah kerajaan yang mampu menyampaikan dan melaksanakan janjinya sebagai pengisian sebenar kepada sebuah kemerdekaan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan percaya dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, ia harus bersifat melangkaui politik dan hanya berorientasikan kepentingan rakyat dengan mengutamakan projek infra rakyat seperti tren Aliran Transit Massa (MRT) yang bertaraf dunia.

Katanya, kerajaan tidak mahu membuang masa memberi perhatian terhadap percanggahan sebaliknya begitu komited untuk memfokuskan kepada usaha merencana agenda ekonomi dan rakyat.

“Kerajaan ini tidak mahu membuang masa untuk terjebak dan melayan jalan percanggahan, sebaliknya komited dan bertekad menumpu sepenuh kudrat dan usaha merencana agenda kepesatan ekonomi, demi maslahah rakyat terbanyak.

“Kerajaan ini percaya dalam ikhtiar memberi khidmat kepada rakyat, ia harus bersifat melangkaui politik dan berorientasikan kepentingan rakyat.

“Pucuk pangkalnya, di era pentadbiran kerajaan ini, tiada hadiah yang lebih istimewa kepada rakyat, sebagai pengisian sebenar kepada sebuah kemerdekaan, melainkan menjadi kerajaan yang mampu menyampai serta melaksana janji yang dibuat dari semasa ke semasa,” katanya menerusi perutusan Merdeka 2017, di sini, semalam.

Selain itu, beliau berkata, biarpun Malaysia dianggap berada di kalangan gugusan negara yang muda, kadar pertumbuhan dan kemajuan yang dicapai jelas dilihat berlaku begitu pantas khususnya sejak 2009.

Katanya, pentadbiran kerajaan sejak lapan tahun lalu juga tidak pernah berlengah-lengah malah amat komited melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif ke arah memakmurkan negara serta mensejahterakan rakyat.

“Dekad demi dekad, melalui pelbagai era, pada 50-an di zaman awal kemerdekaan, membawa ke tahun 70-an membina pembangunan, 80-an dan 90-an babak- babak bermulanya pemodenan dan kemajuan, sehinggalah kini sedang menyusuri transformasi sebuah negara Bangsa, yang benar-benar bakal dijulang dalam gelanggang 20 negara terbaik dan terunggul di persada antarabangsa, insya-Allah,

“Jika merujuk sudut ilmiah, dalam kamus peradaban dunia, Malaysia masih terangkum dalam gugusan negara muda, berbanding lain-lainnya yang jauh lebih lama bernegara serta merdeka.

“Meskipun begitu, jelas sekali, kadar pembangunan, pertumbuhan dan kemajuan negara kita berpecut pada kadar yang sungguh signifikan terutama sejak tahun 2009 dengan berpaksikan falsafah 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Namun jelasnya, titian kemerdekaan yang dilalui saban tahun itu tidak mungkin menjadi realiti tanpa keamanan dan kestabilan negara selain sentiasa mengingati jasa serta pengorbanan pejuang terdahulu.

“Kita tidak boleh sesekali lupa akan jasa dan pengorbanan pejuang, anggota keselamatan serta pasukan perajurit yang sentiasa berkawal demi menjaga kedaulatan di segenap penjuru tanah air.

“Perayaan kemerdekaan negara kita tahun demi tahun semakin mantap dan mendalam maksudnya. Dalam erti kata lain, setiap kali menjelangnya sambutan, ia menjadi satu momentum yang menganjak kita jauh ke hadapan sebagai sebuah negara bangsa yang berjati diri,” katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 5:38am
d