mutakhir

Kutip RM5j

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Walaupun rakaman penuh filem Abang Long Fadil 2 dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di YouTube Sabtu lalu, filem arahan Syafiq Yusof itu tetap menjadi pilihan apabila meraih kutipan RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya berharap kutipan filem itu terus meningkat hujung minggu ini walaupun ada dua cuti umum iaitu Hari Kemerdekaan dan Aidiladha.

“Dari awal lagi kami tidak meletakkan sasaran berdasarkan kutipan teruk daripada beberapa filem tempatan. Kami bimbang jika filem ini menerima nasib sama.

“Jadi apabila mendapat sambutan, ia memang di luar jangkaan kami. Saya menyifatkan ia satu kejayaan buat semua pihak yang bekerja keras mempromosikan filem ini.

“Jika ditanya berapa jangkaan kutipan minggu ini, sejujurnya kami tidak terfikir. Cuma saya dan penerbit Datuk Yusof Haslam berharap rakyat Malaysia menonton filem ini,” katanya.

Menariknya, filem yang mula ditayangkan 24 Ogos lalu mengatasi populariti filem hebat Hollywood seperti Annabelle:Creation dan filem Kollywood, Vivegam.

“Walaupun ada dua filem asing ditayangkan pada waktu sama, tetapi kami bernasib baik kerana Abang Long Fadil 2 masih menjadi pilihan ramai.

“Bagi saya ia satu penghargaan buat kami kerana mendapat sokongan peminat filem tempatan,” katanya.

Dalam masa sama, Najwa berterima kasih kepada Yusof kerana pantas memaklumkan kepada pihaknya mengenai rakaman penuh filem itu sebelum dilaporkan kepada YouTube.

Rentetan insiden itu, Najwa dan seluruh pasukannya menjalankan pemantauan rapi di laman sosial bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

Abang Long Fadil 2 dibintangi Zizan Razak, Datuk AC Mizal, Syamsul Yusof, Wak Doyok, Achey, Tania Hudson, A Galak dan Shuib.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 5:40am
d