mutakhir

Baling mercun lepas geram

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: Tindakan liar seorang remaja lelaki melepaskan geram dengan membakar dan membaling mercun selepas perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA 2017 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Shah Alam, di sini, kelmarin, memakan diri apabila dicekup polis.

Difahamkan, remaja berusia 16 tahun itu membeli mercun bola sejak perayaan Aidilfitri lalu dan menyusup masuk bahan berkenaan dengan cara melontarkannya ke dalam stadium sebelum menjalani pemeriksaan di pintu masuk.

Pelajar sekolah menengah yang datang bersama seorang ahli keluarganya itu kemudian mengutip semula mercun berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, remaja itu ditahan anggota polis yang melakukan rondaan dan melihat suspek membakar serta melontar dua mercun di lokasi luar Kuadron A, Aras 3 stadium berkenaan, jam 10.50 malam.

“Ia mengakibatkan bunyi letupan kuat, namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Ketika ditahan, polis menemui satu pemetik api dari genggaman tangan suspek. Penahanan itu kemudian membawa kepada penemuan 40 lagi mercun bola di rumah suspek di sekitar Klang, jam 8 pagi tadi (semalam),” katanya pada sidang media, sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat.

Menurut beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda hingga RM10,000, jika sabit kesalahan.

“Suspek direman dua hari dan kertas siasatan yang dilengkapkan kelak akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, pihaknya mengesan seorang lelaki berusia 20-an yang disyaki membaling mercun ketika berlangsung perlawanan bola sepak separuh akhir antara Malaysia dan Indonesia, Sabtu lalu.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu itu tampil menyalurkannya di balai polis berdekatan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada sebarang provokasi dan insiden lebih teruk berlaku sepanjang perlawanan bola sepak Sukan SEA kali ini, pihaknya memandang serius perbuatan individu membakar mercun yang boleh mendatangkan huru-hara serta kecederaan kepada penonton lain.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 5:46am
d