mutakhir

Dicekup selepas serang polis

Oleh Norizuan Shamsuddin

LELAKI ditangkap selepas menyerang polis menggunakan parang berdekatan Jalan Othman, Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, kejadian berlaku ketika sepasukan anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) menjalankan Op Rentap di sekitar kawasan terbabit pada 4.30 petang.

Katanya, suspek berusia 21 tahun dikesan berlegar-legar di kawasan terbabit dengan menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.

"Susulan itu anggota cuba menghampiri suspek bagi melakukan pemeriksaan tetapi lelaki terbabit memecut motosikal bagi melarikan diri sebelum terbabas.

"Bagaimanapun, ketika anggota cuba menahannya suspek mengambil parang dari motosikalnya dan melibaskan senjata terbabit ke arah anggota menyebabkan berlaku pergelutan.

"Anggota berjaya menahan suspek tanpa berlaku sebarang kecederaan dan hasil pemeriksaan polis menemui gari di dalam beg silangnya," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, suspek kini direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi tindakan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 2:47pm
d