mutakhir

Korban 32 lembu di Baitulmaqdis esok

Oleh Amir Abd Hamid di Baitulmaqdis

SOLAT Aidiladha di Kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis akan dilaksanakan pada 6.45 pagi waktu tempatan (11.45 pagi waktu Malaysia).

Imam Utama Masjid Al-Aqsa, Sheikh Yusuf Abu Sneinah berkata, 150,000 jemaah akan memenuhi ruang solat dalam Kompleks Masjid Al-Aqsa, esok.

"Apabila dikatakan Masjid Al-Aqsa ia bukan sahaja masjid yang ada di dalamnya tetapi meliputi seluruh kawasan seluas 144,000 meter persegi atau kira-kira 36 ekar," katanya.

Beliau berkata demikian kepada rombongan ziarah dan korban sempena Aidiladha anjuran Yayasan Al Amin kendalian ALCC Al Amin Travel Sdn Bhd.

Menjelas lanjut, katanya, solat diimamkan di Masjid Utama Al-Aqsa atau Masjid Qibli manakala terdapat empat masjid lagi untuk makmum iaitu Masjid Kubah Emas (Dome of Rock) serta tiga bawah tanah iaitu Masjid Marwani, Masjid Utama Al-Aqsa Lama dan Masjid Buraq.

Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Al Amin Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin atau Ustaz Amin berkata, pihaknya mengendalikan 32 ekor lembu dan seekor kambing korban disertai rakyat Malaysia untuk dilakukan di Baitulmaqdis.

"Agihan daging korban adalah kepada orang Palestin susah, fakir miskin dan sangat memerlukan," katanya lebih mesra dengan panggilan Ustaz Amin.

Yayasan Al Amin turut membawa sumbangan untuk rakyat Palestin secara berterusan.

Sumbangan menerusi akaun Maybank 5622 7260 3690 (Yayasan Al Amin).

Maklumkan sumbangan menerusi e-mel kepada yayasanalamin76@gmail.com atau hubungi pejabat yayasan di talian 03-55232296.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 6:01pm
d