mutakhir

Doa untuk Malaysia

Oleh Nasharuddin Muhammad

HARI Wukuf yang serentak dengan Hari Kebangsaan 2017, hari ini memberi peluang kepada jemaah haji Malaysia mendoakan kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan negara.

Doa itu dititipkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan Khutbah Arafah kepada jemaah Malaysia di satu daripada 14 maktab penginapan.

Khutbah sama turut disampaikan tokoh agama termasuk dua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1438 Hijrah di 13 lagi maktab dan surau petugas.

Selain doa untuk Malaysia, turut dititipkan ialah doa untuk ummah memohon pejuang serta umat Islam di seluruh dunia dibebaskan daripada cengkaman kezaliman.

"Hindarilah kami dari segala kemungkaran dan kemaksiatan serta pimpinlah kami sekalian ke jalan yang engkau (Allah) redai buat selama-lamanya," katanya.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainal Rahim Zainuddin; Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah dan Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dalam doa dibacakan, jemaah juga memohon semoga kehidupan rakyat Malaysia dan pemimpinnya dikurniakan sifat terpuji.

"Hiasilah diri kami dengan akhlak kesopanan yang tinggi, tanamkanlah ke dalam jiwa kami rasa rendah diri," katanya.

Dalam doanya, Asyraf Wajdi turut meminta jemaah haji dan seluruh rakyat Malaysia bersyukur dengan nikmat pembangunan dan kemerdekaan negara.

"Kekalkanlah pembangunan yang sudah kami laksanakan sama ada yang berbentuk material atau spritual.

"Martabatkanlah negara kami dan seluruh rakyat dengan kemuliaan di sisimu Allah," katanya.

Menurutnya, jemaah diminta bersyukur dengan kemajuan diperoleh hasil kemerdekaan dan kebijaksanaan pemimpin yang dianugerahkan Allah.

"Hindarkanlah kami dari segala rupa bentuk kemungkaran dan kemaksiatan, peliharalah kami dari segala bencana.

"Kurniakanlah kami dengan hikmah dan kebijaksanaan serta ketajaman fikiran supaya kami (rakyat) dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara," katanya.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 8:04pm
d