mutakhir

'Saya tak buat apa-apa bang'

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Pasir Gudang: Tidak serik ditegur anggota Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) kerana berdua-duaan di sebuah tasik berhampiran Bukit Layang-layang, di sini, tengah malam semalam, pasangan kekasih itu kemudian ditangkap di dalam bilik hotel bajet dekat Taman Masai, kerana disyaki berkhalwat, hanya dua jam selepas itu.

Mereka mendakwa tidak sempat melakukan ‘apa-apa’ terkejut apabila anggota berkenaan mengetuk pintu lebih 10 minit sebelum membuka pintu berkenaan.

Apabila pintu dibuka pada jam 2.05 pagi, seorang lelaki berusia 20 tahun dilihat berpakaian lengkap di dalam bilik air, manakala wanita berusia 21 tahun berada di atas katil dan berpakaian lengkap serta bertudung.

Ketika mereka memberitahu baru pulang dari sambutan Majlis Ambang Merdeka di Bukit Layang-layang di sini, anggota penguat kuasa kemudian mengecam pasangan itu antara yang ditegur kerana berdua-duaan ketika pemeriksaan di sekitar tasik sejurus sambutan itu berakhir.

“Awak tak perasan saya tegur awak di tasik tadi? Sambung (berdua-duaan) di bilik hotel pula?” tanya seorang anggota penguat kuasa kepada pasangan itu.

Pasangan bujang itu mendakwa baru berkenalan menerusi aplikasi WeChat memberitahu mereka hanya mendaftar masuk dengan harga RM30 bagi tiga jam saja.

Sebelum pasangan itu ditahan, dua remaja ditangkap pada jam 1.42 pagi dalam sebuah bilik hotel berhampiran di Jalan Bunga Raya, Taman Masai di sini.

Sejurus pintu bilik dibuka, remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditemui tidak berbaju dan hanya berseluar dalam, manakala remaja perempuan tingkatan lima sebuah sekolah menengah itu ditemui di dalam tandas dan sedang menyembunyikan diri.

“Saya tak ‘main’ pun bang,” kata lelaki yang bekerja di sebuah kantin itu kepada anggota penguat kuasa selepas dilihat terkejut dengan kehadiran mereka.

Dua pasangan kekasih itu ditahan dalam operasi yang dijalankan sempena malam ambang merdeka yang diadakan sekitar kawasan ini, semalam.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 27(1) a & b Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 kerana berkhalwat yang membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mereka dibawa ke Balai Polis Masai untuk membuat laporan sebelum dibawa pulang ke pejabat Bahagian Penguat Kuasa JAINJ untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, 11 anggota penguat kuasa JAINJ itu menjalankan pemantauan di sekitar tasik berhampiran Bukit Layang-layang sejurus tamat sambutan ambang merdeka kira-kira 12 tengah malam dan mengeluarkan tujuh notis arahan hadir ke atas tujuh pasangan.

Mereka diberikan notis itu mengikut Seksyen 29, enakmen sama selepas didapati berkelakuan tidak bermoral di khalayak umum.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 8:13am
d