mutakhir

Agih 120 lembu, 700 kambing, tiga unta

Oleh HM Digital

Sepang: Sebanyak 120 lembu, 700 kambing dan tiga unta diagihkan sempena program Misi Ibadah Korban Muslim Care Malaysia Society (Muslim Care) ke 16 negara.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, negara yang terbabit dalam misi ibadah korban pertubuhan itu untuk tahun ini selain Malaysia ialah Sudan, Kemboja, Indonesia, Sri Lanka, Nepal, Filipina, Jordan, Syria, Turki, Palestin, Mesir, Yaman, Poland, Chad dan Gambia.

Katanya, pihaknya membahagikan tugasan kepada EXCO dan sukarelawan Muslim Care untuk ke negara berkenaan bagi melihat sendiri ibadah itu yang disumbangkan rakyat negara ini.

“Saya dan Pengarah Komunikasi Strategik dan Pemasaran, Sham Samad serta dua wakil Harian Metro akan bertolak ke Sudan hari ini (semalam) manakala EXCO dan sukarelawan lain ditugaskan ke negara lain yang terbabit dalam misi itu.

“Sudan diberi tumpuan kerana majoriti rakyatnya hidup dalam kemiskinan dan kita akan menjalankan ibadah Korban di empat kampung membabitkan 8,000 penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang sebaik melepaskan wakil Muslim Care ke Kemboja sebelum bersama-sama kumpulan ke Khartoum, Sudan, bertolak jam 10 pagi, semalam.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 8:32am
d