mutakhir

Wanita nyaris maut kereta jatuh dalam parit

Oleh HM Digital

Miri: Seorang wanita nyaris maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam parit sedalam tiga meter di Jalan Miri-Bypass berhampiran Vista Perdana, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi, mangsa berusia 40-an yang memandu Toyota Avanza hilang kawalan lalu terbabas ke dalam parit berkenaan.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.38 pagi berhubung kejadian itu.

Menurutnya, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng kemudian dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, kami mendapati mangsa terperangkap di dalam kenderaan yang separuh tenggelam.

“Mangsa dikeluarkan lima minit kemudian selepas bomba membuka pintu kenderaan itu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa hanya cedera ringan, namun trauma akibat kejadian itu.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Miri untuk rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 8:58am
d