mutakhir

500,000 pelarian melarat di Kenya

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Nairobi (Kenya): Kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan serta air bersih mendedahkan hampir 500,000 pelarian termasuk kanak-kanak yang ditempatkan di Kem Dadaab dan Kakuma sentiasa berdepan risiko kematian.

Wakil EZ Qurban Sdn Bhd di Kenya, Omar Sultan berkata, hasil pemantauan dilakukan pihaknya mendapati keadaan pelarian di kedua-dua kem berkenaan sangat daif.

“Kanak-kanak dan warga emas terdedah kepada pelbagai penyakit berjangkit. Mana tidaknya, ubat-ubatan dan makanan tidak cukup. Bekalan air bersih juga terhad,” katanya ketika ditemui selepas taklimat ringkas bersama rombongan EZ Qurban Sdn Bhd yang baru tiba dari Malaysia.

Menurut Omar, pelarian di kedua-dua kem berkenaan memerlukan bantuan yang besar daripada Muslim seluruh dunia terutamanya bekalan ubat-ubatan, makanan dan air bersih.

“Kem Dadaab dan Kakuma kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan diberikan Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR). Ia (bantuan) jelas tidak cukup untuk menampung jumlah pelarian yang kian bertambah saban hari.

“Dalam pengetahuan saya, hanya badan bukan kerajaan (NGO) Turki saja dari negara Islam yang tampil menghulurkan bantuan. Itupun kadang-kadang,” katanya merayu supaya lebih banyak NGO Islam dari seluruh dunia tampil membantu pelarian Somalia dan pelarian dari lain-lain negara di Kenya.

Sementara itu, Pengarah Urusan EZ Qurban Sdn Bhd Ustaz Azhar Ab Shukur berkata, majoriti pelarian Somalia di Kem Dadaab beragama Islam.

“Adalah menjadi tanggungjawab ataupun kewajipan bagi setiap umat Islam lain terutamanya mereka yang berkemampuan untuk membantu saudara seagama.

“Disebabkan itu, EZ Qurban membuka peluang kepada seluruh rakyat Malaysia supaya memberi makan kepada saudara kita di Kenya dengan menyertai Program Kembara Korban Edisi ke-11 yang mana satu bahagian hanyalah RM300,” katanya menjelaskan, 150 lembu akan diagihkan sempena Aidiladha ini.

Menurutnya, pihaknya akan membuka penyertaan untuk ibadat korban sehingga hari raya kedua.

“Mereka yang berminat ataupun memerlukan maklumat lanjut boleh hubungi talian 03-61861911 serta melayari laman web www.ezqurban.org,” katanya. Rombongan EZ Qurban akan bergerak ke Kem Dadaab yang memakan masa lebih lapan jam dari Bandar Nairobi.

Untuk rekod, perang saudara di Somalia pada tahun 1991 menyebabkan puluhan ribu rakyat negara itu melarikan diri ke Kenya.

Statistik UNHCR Kenya sehingga Julai 2017 merekodkan sebanyak 434,310 pelarian berdaftar di negara itu. Daripada jumlah itu, seramai 288,296 adalah rakyat Somalia.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 9:05am
d