mutakhir

Doa Malaysia sejahtera

Oleh Nasharuddin Muhammad

Arafah: Hari Wukuf yang serentak dengan Hari Kebangsaan 2017, semalam, memberi peluang kepada jemaah haji Malaysia mendoakan kestabilan, kesejahteraan dan keselamatan negara.

Doa itu dititipkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ketika menyampaikan Khutbah Arafah kepada jemaah Malaysia di satu daripada 14 maktab penginapan.

Khutbah sama turut disampaikan tokoh agama termasuk dua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1438 Hijrah di 13 lagi maktab dan surau petugas.

Selain doa untuk negara, turut dititipkan doa untuk ummah memohon pejuang serta umat Islam di seluruh dunia bebas daripada cengkaman kezaliman.

“Hindarilah kami dari segala kemungkaran dan kemaksiatan serta pimpinlah kami sekalian ke jalan yang engkau (Allah) redai buat selama-lamanya,” katanya.

Hadir sama Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Datuk Zainal Rahim Zainuddin, Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Johan Abdullah serta Ketua Rombongan Haji 1438 Hijrah Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Dalam doa yang dibacakan, jemaah memohon semoga kehidupan rakyat Malaysia dan pemimpinnya dikurniakan sifat terpuji.

“Hiasilah diri kami dengan akhlak kesopanan yang tinggi, tanamkanlah ke dalam jiwa kami rasa rendah diri,” katanya.

Asyraf Wajdi turut meminta jemaah haji dan rakyat Malaysia bersyukur dengan nikmat pembangunan serta kemerdekaan negara.

“Kekalkanlah pembangunan yang kami laksanakan sama ada berbentuk material atau spiritual.

“Martabatkanlah negara kami dan seluruh rakyat dengan kemuliaan di sisimu Allah,” katanya.

Menurutnya, jemaah perlu bersyukur dengan kemajuan yang diperoleh hasil kemerdekaan.

“Hindarkanlah kami dari segala rupa bentuk kemungkaran dan kemaksiatan, peliharalah kami dari bencana.

“Kurniakanlah kami dengan hikmah dan kebijaksanaan serta ketajaman fikiran supaya kami (rakyat) dapat terus berbakti kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Terdahulu, sebelum Wukuf, beliau bersama Abdul Azeez dan pengurusan kanan TH meninjau khemah jemaah serta beramah mesra dengan mereka.

Kemuncak Wukuf bermula selepas Zuhur dan berakhir menjelang Maghrib.

Antara inti pati khutbahnya, Asyraf Wajdi berkata, kesatuan dan perpaduan ummah perlu diterjemahkan dalam masyarakat Islam dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan yang melampaui batas puak, parti politik dan ideologi sempit.

Menurutnya, ibadat haji adalah manifestasi, cerminan serta simbolik kesatuan dan perpaduan ummah yang hebat.

Katanya, hal itu kerana tiada perhimpunan tahunan umat Islam yang terbesar selain ibadat haji dan Hari Wukuf di Padang Arafah.

“Umat Islam perlu menginsafi kejatuhan kebanyakan kerajaan Islam di dunia disebabkan hilangnya perpaduan dan kesatuan dalam kalangan rakyat.

“Kejatuhan kerajaan Islam termasuk kerajaan Uthmaniah dan Melayu Melaka disebabkan persengketaan dan tiadanya perpaduan dalam kalangan rakyat, bukannya kerana kekuatan musuh,” katanya.

Beliau berkata, jemaah haji perlu merebut dan menghargai peluang serta nikmat berada dan berdoa di Arafah pada Hari Wukuf.

Menurutnya, umat Islam perlu mengambil peringatan kandungan Khutbah Arafah yang disampaikan Rasulullah SAW.

Dalam pada itu, kira-kira 1,000 jemaah mengambil bahagian pada majlis khatam al-Quran sempena World#QuranHour (WQH) Arafah.

Ia sebahagianaktiviti ibadat mereka sempena Hari Wukuf. Program sama turut diadakan di seluruh negara. Kumpulan Media Prima Berhad adalah rakan media program itu.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 9:18am
d