mutakhir

'Rumah gegar, kami terdiam'

Oleh Cleo Will

PENDUDUK yang sedang menjamu selera sempena cuti Hari Kebangsaan 2017 dan Aidiladha tiba-tiba cemas selepas rumah mereka bergegar.

Gegaran tiga saat di Kampung Kilimau, Ranau itu, berlaku akibat gempa bumi pada jarak 16 kilometer dari barat laut Ranau, pada 11.14 pagi, hari ini.

Penduduk, Allen Ryan , 39, berkata dia sedang menghadiri jamuan Aidiladha di rumah rakannya, Mohd Asmi Ali, 56, dan terkejut dengan gegaran itu.

“Ketika itu, kira-kira 20 penduduk daripada lima keluarga berada dalam rumah Asmi.

“Tiba-tiba rumah bergegar. Kami semua hanya duduk diam dan tiga saat kemudian semua kembali tenang," katanya.

Allen berkata, semua terkejut dan ada juga yang melatah, tetapi kanak-kanak keriangan apabila gegaran berlaku.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi Sabah, Azemi Daud, berkata gempa bumi lemah bermagnitud 3.9 melanda Ranau, pada 11.14 pagi ini.

"Gempa pada jarak 16 kilometer dari barat laut Ranau menyebabkan gegaran selama tiga saat. Tidak mengakibatkan ancaman tsunami," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 2:31pm
d