mutakhir

Pelajar madrasah bantu aktiviti korban

Oleh Zaid Salim

SERAMAI 160 pelajar Madrassah Tarbiyah Islamiyah Darul Hijrah, Chendering, Kuala Terengganu teruja melakukan aktiviti korban sempena Aidiladha, hari ini.

Sebanyak 45 haiwan membabitkan 38 ekor kambing dan tujuh ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan kepada pelajar yang sebilangan besarnya anak yatim dan penduduk setempat.

Pengasas madrasah, Ustaz Wan Muhammad Mizan Abdul Latiff, 34, berkata, program korban di Kompleks Anak Yatim Darul Hijrah itu adalah tahun ketiga selepas kali pertama diadakan pada 2014.

Katanya, selain pelajar, program berkenaan turut disertai kakitangan madrasah, ibu bapa pelajar dan masyarakat setempat yang bergabung tenaga menguruskan ibadab itu bermula 9 pagi.

"Masing-masing diberikan tugas mengikut kemampuan dan kepakaran untuk melapah, memotong daging dan menyembelih.

"Bagaimanapun hanya beberapa pelajar sahaja yang mampu melakukan penyembelihan," katanya

Beliau berkata, haiwan yang dikorbankan itu ada sebahagiannya disumbangkan orang ramai dan ada yang mengambil bahagian dalam aktiviti itu.

Wan Muhammad Mizan berkata, pihaknya diberi pendedahan ibadah korban menerusi kursus yang dipimpin Master Butcher Mustaffa Othman.

"Di madrasah ini, kita bukan hanya mahu melahirkan pelajar tahfiz yang mampu membaca dan menghafaz al-Quran sahaja tetapi matlamat kita adalah melahirkan pelajar yang serba berkebolehan," katanya.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 3:12pm
d