mutakhir

Syabas PDRM

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) antara peranan terpenting dalam memastikan kejayaan paling cemerlang Malaysia dalam Sukan SEA yang berakhir kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kejayaan atlet Malaysia merangkul 145 pingat emas bukan sumbangan langsung PDRM, tetapi kawalan keselamatan oleh pasukan itu membolehkan atlet negara berada pada prestasi terbaik mereka pada kejohanan itu.

"Seramai 25,000 pegawai dan anggota polis bertugas sepanjang Sukan SEA berlangsung bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Warga Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), 69 Komando Pasukan Gerak Khas (PGK) dan Pusat Latihan PGA (PLPGA) Sempena Aidiladha 2017 di Ulu Kinta, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan serta Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahar Ibrahim.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, PDRM juga berjaya menggagalkan sebarang usaha mana-mana pihak untuk membuat ancaman sepanjang kejohanan berkenaan beelangsung.

Beliau berkata, pasukan itu sudah melakukan perancangan rapi termasuk mengadakan eksesais bagi memastikan penganjuran Sukan SEA berjalan lancar tanpa sebarang masalah keselamatan.

Ahmad Zahid juga berkata, penyerapan pegawai dan anggota PGA dalam Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) bagi menggantikan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) berjaya meningkatkan aktiviti pencegahan jenayah rentas sempadan.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 7:00pm
d