mutakhir

Terperangkap arus deras

Oleh Amrullah Abdul Karim

ENAM kanak-kanak dan 14 orang dewasa yang mandi di kawasan perkelahan Sungai Chiling, Kuala Kubu Bharu berdepan detik cemas apabila terperangkap di tebing sungai akibat arus deras, 4 petang, hari ini.

Kejadian berlaku ketika kesemua mangsa yang berasal dari Taman Tanjak, Kuala Kubu Bharu itu hendak pulang sebelum tiba-tiba paras air sungai meningkat dan diiringi arus deras menyebabkan mereka terperangkap.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Yusof Md Ali berkata, pusat kawalan bomba menerima panggilan pada 4.17 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

"Anggota bertugas merentas arus deras dan merentang tali untuk melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa yang tersangkut dan membawa mereka ke tempat selamat.

"Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dalam tempoh hampir sejam," katanya.

Menurutnya, kesemua mangsa terdiri dari empat kanak-kanak perempuan dan dua kanak-kanak lelaki, tujuh perempuan dewasa dan tujuh lelaki dewasa.

Disiarkan pada: September 1, 2017 @ 8:14pm
d