mutakhir

Badan Kebajikan dan Khairat NSTP korban 8 ternakan

Oleh Ardyhansah Amat

Kuala Lumpur: Sebanyak enam ekor lembu dan dua kambing dikorbankan Badan Kebajikan dan Khairat The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), sempena sambutan Aidiladha, di sini, semalam.

Pengerusinya Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman berkata, ia adalah program tahunan NSTP dan diagihkan kepada pihak terpilih membabitkan ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin.

“Seramai 30 kakitangan NSTP turut bergotong royong melapah daging dan menjayakan program kali ini.

“Daripada jumlah haiwan yang dikorbankan, seekor lembu adalah sumbangan Jabatan Perdana Menteri manakala selebihnya daripada Badan Khairat NSTP,” katanya, semalam.

Selain daging korban, turut diagihkan 60 kampit beras kepada golongan asnaf hasil kerjasama dengan Syarikat Faiza Sdn Bhd.

“Dalam masa sama, kita turut mendapat kerjasama daripada syarikat Adabi yang menyumbangkan produk rempah ratus untuk program memasak daging korban kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 3:20am
d