mutakhir

Tak jumpa pistol

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: Polis meneliti rakaman kamera liter tertutup (CCTV) daripada premis berhampiran Balai Polis Pinggiran USJ, Subang Jaya bagi membantu siasatan seorang Lans Koperal yang ditetak dan ditembak, awal pagi Khamis lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya kini sedaya upaya mengumpul petunjuk dan bukti sejak hari pertama kejadian dan satu elemen yang penting adalah rakaman CCTV.

“Kami melakukan yang terbaik dengan harapan ia diselesaikan dengan segera, tapi kami perlu tunggu dan lihat segala bukti yang ada sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Polis meminta sesiapa saja yang mempunyai maklumat dengan kes ini, sila tampil ke hadapan untuk membantu kami,” katanya selepas ditemui pemberita pada Majlis Korban Peringkat Kontinjen Selangor dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mazlan menafikan polis menemui pistol yang dipercayai dilarikan suspek dalam kejadian berkenaan.

“Kalau jumpa kami maklum, tolong jangan buat spekulasi yang akhirnya menjejaskan siasatan kami.

“Mengenai tangkapan selanjutnya, kami siasat dulu dan jika perlu dan wujud keraguan, kami tangkap,” katanya.

Dalam kejadian jam 3.25 pagi itu, Lans Koperal Valentino Mesa, 29, yang bertugas di kaunter Balai Polis Pinggiran USJ ditemui terbaring dengan kesan tembakan di badan selain tetakan di belakang kepala oleh anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang baru tiba ke balai berkenaan selepas menjalankan rondaan rutin.

Susulan itu, seorang lelaki yang juga pekerja kilang ditahan di Balai Pelepasan Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada jam 1 pagi kelmarin kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai sudah menaiki pesawat sementara menunggu untuk berlepas ke Sibu, Sarawak, sebelum dikesan dan ditahan polis.

Suspek dibawa ke IPD Subang Jaya oleh Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9P Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ Subang Jaya untuk direman tujuh hari.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 3:24am
d