mutakhir

Patuh jadual TH

Oleh Nasharuddin Muhammad

Mina: Jemaah Malaysia yang dalam proses menyempurnakan manasik haji seterusnya iaitu melontar jamrah dinasihatkan mematuhi jadual disediakan pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).

Pengarah Operasi Masya’ir 1438 Hijrah Mohd Norber Kassim berkata, ia bagi mengelak jemaah daripada tersasar arah demi keselamatan mereka.

Menurutnya, jika mereka mematuhi nasihat masa melontar disediakan pengurusan maktab, kes tersasar termasuk tersalah memasuki khemah jemaah negara lain dapat dielakkan.

Bagaimanapun, katanya, secara keseluruhan jemaah kini dalam keadaan baik dan terkawal.

“Kita menasihatkan mereka supaya sentiasa mengikut laluan dan jadual perjalanan ditetapkan bagi mengelak tersasar.

“Hal itu kerana kita masih menerima laporan terdapat jemaah Malaysia yang tersasar di Mina Muassim ini,” katanya kepada wartawan Malaysia di Bilik Gerakan Masya’ir di sini.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti mereka dan memberikan bantuan segera termasuk menghantar pulang ke khemah atau ditunjukkan arah oleh petugas di lapangan.

Menurutnya, laluan pergi balik dari khemah jemaah Malaysia di Mina ke Aras 3, Kompleks Jamarat sejauh 7.5 kilometer sudah ditetapkan TH bersama Muassasah Tewafah Asia Tenggara.

“Jadi saya nasihatkan kepada semua jemaah Malaysia, ikutilah panduan yang ditetapkan pengurusan maktab masing-masing.

“Laluannya (melontar) sehala, jangan guna laluan lain bagi mengelak tersasar,” katanya.

Katanya, Pasukan Penyelamat TH ditugaskan bagi membantu jemaah yang tersasar atau menghadapi masalah kesihatan khususnya kekejangan dan dehidrasi.

“Mereka terdiri daripada gabungan anggota pasukan perubatan, rombongan kebajikan dan Pembantu Petugas Haji (PATUH).

“Bagi mengelak strok haba, jemaah haji dinasihatkan mengelak daripada berjalan ketika cuaca panas,” katanya.

Semua jemaah Malaysia bermalam di Mina dari 10 hingga 13 Zulhijjah bagi menyempurnakan ibadat melontar ketiga-tiga jamrah iaitu Sughra, Wusto dan Kubra yang menjadi syarat wajib haji.

Mereka dijangka meninggalkan Mina selepas jam 6 pagi pada 13 Zulhijjah untuk ke Makkah bagi melengkapkan manasik haji dengan melakukan tawaf dan saie haji seterusnya bertahalul.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 3:44am
d