mutakhir

Aksi rompak berkumpulan dirakam

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Rawang: Rompak kedai runcit secara beramai-ramai. Itu tindakan nekad sekumpulan lapan penjenayah yang menyamun sebuah kedai runcit sebelum aksi mereka sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Dalam kejadian petang kelmarin, kumpulan suspek yang menaiki motosikal tidak menyedari aksi mereka dirakam CCTV yang dipasang di dalam dan luar premis.

Rakaman itu kemudian menjadi tular di laman sosial Facebook selepas dikongsi orang awam sejak kelmarin.

Rakaman video memaparkan lapan lelaki menaiki empat motosikal serta memakai topi keledar tutup penuh muka memasuki premis itu.

Mereka kemudian dilihat mengambil beberapa barangan di dalam kedai runcit terbabit termasuk serbuk minuman segera yang dimuatkan di dalam beg dibawa.

Malah, salah seorang suspek dilihat memanjat meja pada kaunter pembayaran di kedai itu manakala seorang lagi suspek mengugut pekerja premis berkenaan supaya menyerahkan wang tunai.

Berdasarkan rakaman CCTV, terdapat beberapa individu dipercayai pelanggan dan pekerja berada di dalam premis itu.

Semua suspek kemudian dilihat beredar selepas beberapa minit kemudian bersama barangan dan wang tunai lebih RM10,000. Bagaimanapun senjata yang digunakan suspek tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya belum menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kami masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, tindakan aklan diambil berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 4:18am
d