mutakhir

Masalah komunikasi

Oleh Ibrahim Isa

Johor Bahru: Seorang rakan mangsa langgar lari warga Singapura, Justinian Tan, 24, mendakwa masalah komunikasi ketika rakannya itu mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) 25 Ogos lalu menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan meragukan sebelum ini.

Dalam temuramah dengan sebuah akhbar berbahasa Inggeris negara itu, Joshua De Rozario dipetik berkata, dia dan empat rakannya yang lain tidak berniat jahat apabila menceritakan pengalaman dilalui mereka ketika itu.

Beberapa hari lalu, Rozario meluahkan perasaan tidak puas hati dengan layanan diberikan kakitangan HSA kepada The Independent dan mendakwa ambulans mengambil masa lama untuk tiba di lokasi manakala pengurusan HSA meminta bayaran dijelaskan sebelum sebarang rawatan diberikan kepada Justinian dan seorang lagi rakan yang cedera ringan.

“Ketika kemalangan banyak perkara berlaku dengan pantas dan serentak, jadi kami merasakan masa menunggu ambulans terlalu lama. Saya rasa kami menunggu hingga 30 minit, tetapi catatan dikeluarkan pengurusan mereka menunjukkan waktu berbeza.

“Ada kemungkinan berlaku masalah komunikasi apabila tiba di HSA kerana kami berbual dalam bahasa Inggeris sedangkan kakitangan HSA bercakap dalam bahasa Malaysia, kami berdepan masalah komunikasi ketika itu.

“Kami biasanya pergi ke Johor Bahru untuk makan malam atau beli-belah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila kecemasan berlaku,” katanya kepada The Straits Times.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 4:22am
d