mutakhir

Kompleks Kenderaan Berat mula operasi

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

KOMPLEKS Kenderaan Berat (KKB) di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam memulakan operasi fasa pertama hari ini.

Operasi sepenuhnya termasuk Kompleks Kenderaan Ringan (KKR) akan bermula 1 November ini.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mulai hari ini KKB sudah memulakan operasi di ICQS bagi kenderaan berat yang datang dari Thailand ke negara ini dan dari Malaysia ke Thailand.

Menurutnya, lima jabatan dan agensi yang terbabit di ICQS Bukit Kayu Hitam diarahkan memulakan operasi sepenuhnya 100 peratus pada 1 November iaitu penyerahan sepenuhnya Syarikat pemaju Northern Gateway Infrastucture Sdn Bhd kepada kerajaan akan dibuat pada 31 Oktober.

"Mesyuarat Peringkat Tertinggi (HLC) mengenai keselamatan ICQS Bukit Kayu Hitam akan datang semula pada 1 November ini untuk melihat operasi sepenuhnya tanpa ada kecacatan

"KKB yang baru membabitkan 60 peratus daripada komponen fasa pertama bermula hari ini manakala baki 40 peratus merangkumi KKR, Pejabat Operasi dan Pentadbiran serta kemudahan awam akan dibukakan sepenuhnya 1 November ini.

"Kami serius menangani dan menterjemahkan apa yang diarahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab logistik," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan HCL mengenai keselamatan ICQS Bukit Kayu Hitam di Kompleks Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Beliau berkata, ini adalah lawatan ketiga beliau untuk meninjau ICQS Bukit Kayu Hitam baru dan berpuas hati dengan pihak pemaju dan konsesiwalaupun pada lawatan kali pertama projek ini berlaku kelewatan 700 hari.

KKB baru ini mempunyai sebanyak dua kali ganda lorong pemeriksaan berbanding sebelumnya dan dilengkapi dengan aplikasi penguatkuasaan seperti mesin pengimbas kargo, jambatan timbang, cold room, pusat kuarantin haiwan dan tanaman.

Kos keseluruhan pembinaan ICQS baru membabitkan fasa pertama dan kedua sebanyak RM425 juta yang akan siap sepenuhnya, 31 Disember 2018.

ICQS Bukit Kayu Hitam baru akan mula beroperasi 20 jam bermula 1 November ini dan dibuka sepenuhnya 24 jam bermula 1 Januari 2019.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 2:03pm
d