mutakhir

Waris ulama Perak 1740-an berkumpul

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

LAPAN RATUS ahli keluarga tokoh ulama Perak pada 1740-an, Daeng Selili berhimpun dalam Majlis Perhimpunan Kerabat Daeng Selili di Resort Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar, hari ini.

Pengerusi Persatuan Keturunan Daeng Selili, Datuk Mohamed Saffian Mohamed Omar berkata, penganjuran program yang dibuat pertama kali itu adalah bagi menghimpunkan waris tokoh ulama terbabit sempena Aidiladha.

"Selain sekadar mengeratkan silaturahim, program ini bertujuan mempertemukan waris Daeng Selili yang mempunyai empat jalur keturunan dan ini adalah perhimpunan berskala besar yang pertama kali diadakan.

"Walaupun tedapat ahli dalam persatuan kami yang giat menjalankan aktiviti pengumpulan salasilah keluarga dengan pertemuan sebegini lebih memudahkan lagi pengumpulan maklumat dan data berkenaan salasilah keluarga melalui aktiviti perkongsian yang dibuat," katanya ketika ditemui dalam program, hari ini.

Menurutnya, program sehari itu juga dapat mendedahkan generasi baru keluarga mengenai hubungan persaudaraan antara mereka yang datang dari berbilang jalur keturunan namun masih berasal dari rumpun yang sama.

"Program yang membabitkan aktiviti tahlil arwah, sembelihan binatang korban, pameran senjata, peragaan busana Melayu tradisional, serta bicara salasilah ini dilihat dapat menyatukan kesemua waris yang kebiasaanya berhimpun sesama jalur keturunan sahaja.

"Inisiatif ini tidak lain adalah bagi menjejaki serta mengumpul maklumat dan data berkenaan Daeng Selili yang kebiasaanya hanya diketahui oleh waris dari sesuatu jalur tanpa diceritakan kepada jalur keturunan yang lain," katanya.

Mohamed Saffian berkata, Daeng Selili adalah mufti kerajaan Perak yang pertama dalam sejarah kesultanan Perak iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah III selain turut ditabal sebagai Datuk Maharajalela oleh pihak istana.

Hadir sama memeriahkan majlis adalah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid.

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 3:46pm
d