mutakhir

Melayu hilang tokoh tersohor

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

BEKAS Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Taib Osman, meninggal dunia pada 9.20 pagi Ahad.

Allahyarham adalah penulis buku kesusasteraan Melayu dan antara tokoh penting dalam bidang Pengajian Melayu.

Memulakan karier sebagai pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM) pada 1959, kepakaran Allahyarham adalah di dalam bidang kesusasteraan dan kebudayaan Melayu.

Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Damansara selepas solat jenazah di Masjid Kolej Islam Malaya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Petaling Jaya.

Taib yang lahir pada 1934, memperoleh ijazah sarjana muda dan sarjana di UM sebelum menyambung ijazah doktor falsafahnya di Universiti Indiana, Amerika Syarikat.

Allahyarham juga pernah bertugas di Majlis Penasihat bahagian pendidikan, saintifik dan budaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam bidang pengajian Melayu dan budaya Asia Tenggara antara 1970 hingga awal 1980-an.

Antara hasil penerbitannya adalah Adab Raja-Raja (2006), Budaya dan Bahasa Melayu: Masalah dan Harapan and Globalisasi, Patriotisme dan Isu-isu Kemasyarakatan (2004).

Selain itu, Islamic Civilization in the Malay world (1997), Malay Folk beliefs: An Integration of Disparate Elements (1989), Bunga Rampai: Aspects of Malay Culture (1988) dan Manual for collecting oral tradition: with special reference to Southeast Asia (1982).

Disiarkan pada: September 3, 2017 @ 11:13pm
d