mutakhir

Himpun 800 waris Daeng Selili

Oleh HM Digital

Kuala Kangsar: Seramai 800 ahli keluarga tokoh ulama Perak pada 1740-an yang juga mufti pertama Perak, Daeng Selili berhimpun pada Majlis Perhimpunan Kerabat Daeng Selili di Resort Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), di sini semalam.

Pengerusi Persatuan Keturunan Daeng Selili, Datuk Mohamed Saffian Mohamed Omar berkata, penganjuran program yang pertama kali itu bagi menghimpunkan waris tokoh ulama terbabit sempena Aidiladha.

“Selain sekadar mengeratkan silaturahim, program ini bertujuan mempertemukan waris Daeng Selili yang mempunyai empat jalur keturunan dan ini perhimpunan berskala besar yang pertama kali diadakan.

“Walaupun terdapat ahli dalam persatuan kami yang giat menjalankan aktiviti pengumpulan salasilah keluarga dengan pertemuan sebegini lebih memudahkan lagi pengumpulan maklumat dan data berkenaan salasilah keluarga melalui aktiviti perkongsian yang dibuat,” katanya ketika ditemui pada program itu semalam.

Menurutnya, program sehari itu juga mendedahkan generasi baharu keluarga mengenai hubungan persaudaraan antara mereka yang datang dari berbilang jalur keturunan namun masih berasal daripada rumpun yang sama.

“Program membabitkan aktiviti tahlil arwah, menyembelih binatang korban, pameran senjata, peragaan busana Melayu tradisional serta bicara salasilah ini yang dapat menyatukan semua waris yang kebiasaannya berhimpun sesama jalur keturunan mereka sahaja,” katanya.

Mohamed Saffian berkata, Daeng Selili mufti kerajaan Perak pertama dalam sejarah kesultanan Perak iaitu sewaktu pemerintahan Sultan Mudzaffar Shah III selain turut ditabal sebagai Datuk Maharajalela oleh pihak istana.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 10:19am
d