mutakhir

OKU pantang mengalah

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kuala Lumpur: “Biarpun tidak boleh mendengar, anak saya amat berusaha untuk mendapatkan tempat di sini dan keinginannya juga sama dengan pelajar lain yang ingin melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi,” kata Tium Guat Lik, 54, mengenai anaknya, Wee Chean Loo, 20, yang cacat pendengaran sejak berusia 10 tahun.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Melaka itu adalah antara 18 mahasiswa baharu Orang Kurang Upaya (OKU) yang mendaftar di Universiti Malaya (UM) bagi sesi 2017/2018 semalam dan mengikuti kursus Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Jepun.

Tium berkata, dia tidak dapat menahan rasa kegembiraan dalam dirinya apabila melihat kejayaan yang dicapai oleh anak ketiga daripada empat beradik itu yang sentiasa melalui pelbagai kesukaran ketika zaman persekolahan.

“Ketika di dalam kelas, dia langsung tidak boleh mendengar apa yang guru ajar disebabkan pendengarannya semakin lama semakin teruk. Namun, saya kagum usaha dan semangatnya untuk belajar dengan mengulang kaji sendiri dan mendapatkan bantuan rakan-rakan.

“Saya juga terfikir bagaimana kehidupan seharian dia di sini selepas ini terutama apabila pendengaran sebelah kanan kini hanya 10 peratus dan kiri pula 30 peratus. Walaupun ada alat bantuan mendengar ia tidak begitu membantu. Difahamkan, UM yang dikenali sebagai universiti mesra OKU bersedia untuk memberi bantuan kepadanya dan saya amat berterima kasih,” katanya ketika ditemui, semalam.

Terdahulu, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UM Prof Awang Borgiba Awang Mahmud dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datuk Dr Rohana Yusof hadir memberi taklimat sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu dan Minggu Haluan Siswa UM di Kolej Kediaman Ketujuh, di sini.

Sementara itu, Awang Borgiba berkata, pada sesi kali ini UM menawarkan sebanyak 4,163 tempat kepada mahasiswa baharu yang terdiri daripada 2,657 calon perempuan dan 1,506 calon lelaki.

Menurutnya, universiti berkenaan menerima peningkatan dari segi jumlah pengambilan pelajar sejak dua tahun lalu berbanding hanya sekitar 3,000 sebelum ini selepas kembali melaksanakan sistem pengambilan UPU.

“Kita menerima pertambahan pelajar sejak dua tahun lalu apabila UM melaksanakan pengambilan menerusi sistem UPU dan angka ini agak besar memandangkan pada kebiasaannya kita menerima sekitar 3,000 pelajar baharu.

“Pada tahun ini juga kita menerima lebih ramai pelajar OKU disebabkan UM sememangnya menyediakan banyak kemudahan yang dikhaskan untuk mereka,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 10:33am
d