mutakhir

Khalid nak belajar masak [METROTV]

Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail

“ESOK saya akan memulakan kehidupan sebagai orang awam dan perkara pertama yang ingin saya lakukan ialah membuat kek bersama isteri, Puan Sri Imran Ibrahim," kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid yang akan menyambut ulang tahun kelahiran ke-60 esok turut merancang untuk mengikuti kelas masakan di sebuah institut.

"Sepanjang 40 tahun berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), boleh dikatakan kehidupan saya bersama pasukan. Maka, selepas bersara ini, saya boleh meluangkan lebih banyak masa untuk diri sendiri dan keluarga

"Sudah tiba masanya untuk saya meninggalkan pasukan," katanya sejurus Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara (KPN) di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada 1976, Khalid memulakan kerjayanya dengan pasukan polis ketika berusia 19 tahun sebagai Kadet Inspektor dan pernah menyandang pelbagai jawatan sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negeri Sembilan pada 2005.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman sebelum menjadi Ketua Polis Selangor pada Jun 2007.

Beliau kemudiannya mengetuai Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman pada 2010, sebelum dinaikkan pangkat sebagai timbalan ketua polis negara pada 2011, menggantikan Tan Sri Husin Ismail yang bersara wajib.

Pada 17 Mei 2013, anak jati Seremban itu diberikan tanggungjawab untuk menerajui pasukan polis negara menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

Khalid digantikan Pengarah Cawangan Khas, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun.

Majlis serah terima tugas dan penyerahan tongkat kuasa antara Khalid dengan Mohamad Fuzi turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sementara itu, Mohamad Fuzi berkata, dia terkejut dengan pelantikan jawatan besar itu dan hanya mengetahuinya pagi tadi.

Bagaimanapun, dia bersedia untuk menjawat jawatan itu walaupun tanggungjawabnya amat besar kerana dia menguruskan 10 jabatan di bawah PDRM.

Mohamad Fuzi yang berpengalaman selama 33 tahun dalam PDRM, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM) dan Ijazah Sarjana Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam jurusan Antropologi dan Sosiologi pernah menyandang pelbagai jawatan dalam PDRM.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Pengarah Pasukan Petugas Khas (Operasi/Counter Terrorism) Bukit Aman.

Pada 2014, beliau pernah memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara selama beberapa bulan berikutan penyandangnya, Tan Sri Mohd Bakri Zinin yang bersara wajib.

Selepas itu, beliau menjawat Pengarah Pengurusan PDRM, seterusnya dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman berkuat kuasa Julai 2015.

Beliau menggantikan kedudukan Datuk Seri Akhil Bulat yang bersara ketika itu.

Mohamad Fuzi menyertai polis pada 8 Januari 1984 sebagai kadet Asisten Superintendan Polis.

Berita berkaitan:

Mohamad Fuzi Ketua Polis Negara baru

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 4:16pm
d